Shamsul tanding naib presiden PKR

KUALA LUMPUR (Harakahdaily) – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mengesahkan bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan naib presiden parti itu.

Pengesahan itu sekaligus menamatkan desas-desus yang tersebar beberapa hari lalu berhubung beliau akan melepaskan jawatan ketua AMK yang disandang kini.

Shamsul berkata, keputusan itu dibuat beliau kerana menyedari generasi muda harus memainkan peranan yang lebih besar dalam parti dan mempertimbang gesaan generasi muda parti agar idealisme anak muda diangkat dengan lebih berkesan.

“Keadilan telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah platform yang menyediakan ruang dan peluang yang kondusif untuk generasi muda lebih berperanan dalam politik negara.

“Dan tentunya ia harus diterjemah melalui penyertaan strategik kepimpinan muda dalam heirarki Keadilan,” kata Shamsul pada satu sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, petang ini.

Shamsul berkata, beliau yakin keputusannya itu mendapat sokongan penuh daripada anggota parti termasuk naib-naib presiden sekarang dan AMK sendiri.

“Saya percaya keputusan saya untuk bertanding jawatan naib presiden ini mendapat sokongan daripada semua anggota parti.

“Tidak dinafikan wujud dokongan daripada anak-anak muda untuk bertanding kerana sudah sampai masanya anak muda diberi ruang dan peluang untuk membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.

Sidang media itu turut dihadiri kira-kira 30 anggota AMK termasuk ketua-ketua cabang.

Sementara itu, salah seorang calon yang akan bertanding untuk jawatan AMK, Rafizi Ramli yang turut hadir pada sidang berkenaan berkata, beliau menyokong penuh Shamsul bertanding bagi jawatan naib presiden.

“Saya hadir sebagai rakan dan sokongan kepada Shamsul untuk bertanding. Ini juga merupakan salah satu strategik parti kerana kita semua maklum untuk melangkah ke Putrajaya, kita memerlukan satu juta lebih undi anak muda,” kata Rafizi yang merupakan ahli majlis pimpinan pusat (MPP) Keadilan.

Beliau turut menyatakan sokongan kepada Shamsul atas dasar jasa yang telah banyak disumbangkan Shamsul terhadap parti sepanjang menjadi ketua AMK.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin yang diwakili Hasnah Hashim pula berkata, Wanita Keadilan turut memberikan sokongan penuh kepad keptusan Shamsul itu.

“Wanita Keadilan meraikan dan menyokong Shamsul untuk bertanding jawatan naib presiden dan berharap semua anggota parti menyokong Shamsul,” kata beliau.

Ujarnya, lebih ramai anak muda diperlukan untuk menyumbang idea di peringkat yang lebih tinggi untuk membasmi salah guna kuasa dalam kerajaan.

Selain itu, Shamsul turut menyeru agar kempen dijalankan secara baik sepanjang pemilihan dan berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan debat atau forum bagi membolehkan calon-calon yang bertanding menyatakan sebab mereka bertanding untuk jawatan-jawatan tertentu.

Difahamkan, bagi jawatan AMK, selain Rafizi, Badrul Hisham Saharin dan Hasmi Hashim turut menawarkan diri untuk bertanding.

Pemilihan dijangka akan berlangsung pada 17 November depan.


Click here to read more

Leave a comment